Saturday 15 October 2016

Coretan Sejarah dan Nukilan Sri Mawar

Pulau Mawar terletak di perkampungan Teluk Sari iaitu kira-kira 25 km dari Mersing dan 20 km dari Endau. Sebagai pengunjung yang pertama kali menjejak kaki di sini, anda pasti akan terpesona dengan pemandangan yang tiada di tempat lain. Keunikan Pulau Mawar yang bersambung dengan daratan membentuk tanjung menganjur daripada kawasan teluk apabila air surut dan menjadi sebuah pulau apabila air pasang. Ianya pasti merupakan pengalaman yang berharga untuk di simpan sebagai kenangan.

Teluk Sari atau "Teluk Sehari" 

Bagi yang ingin mengetahui kisah di sebalik kewujudan tempat ini, ianya dapat diceritakan serba ringkas di sini. Pada zaman dahulu kala, nama Teluk Sari telah diberikan jolokan oleh para pedagang yang kebanyakannya singgah di sini selama "sehari" melalui pintu masuk muara Sungai Mawar untuk melabuhkan kapal, menjual beli dagangan, dan beristirehat. Di samping itu, penduduk yang berjalan kaki daripada pekan Endau atau Mersing juga selalunya akan singgah di sini selama "sehari" untuk berehat dan membeli barangan kerana kedudukannya yang strategik iaitu terletak di pertengahan laluan antara pekan Mersing dan pekan Endau. Jika dilihat pada peta seperti di Google Map, kawasan Teluk Sari itu sendiri adalah berbentuk sebuah teluk dan membentuk 2 tanjung iaitu "Penyabung" dan "Pulau Mawar". Kawasan berteluk terbentuk daripada hakisan ombak terhadap peisisiran pantai yang mana kawasan berbatuan membentuk "Tanjung" dan kawasan berpasir membentuk "Teluk" dan "Pantai". Terdapat juga kisah lama yang mengatakan kisah percintaan Tun Teja dan Hang Tuah telah terputus di sini serta dahulunya telah berlaku pergaduhan antara Hang Tuah dan rakan-rakannya melawan lanun di Pulau Keban (Pulau Acheh). Namun begitu, kesahihan cerita ini masih menjadi tanda tanya kepada generasi baru kerana penceritaan berdasarkan pengetahuan generasi dahulu kala. 

Tinggalan Sejarah dan Ekosistem kita

Apa yang menarik disini ialah tinggalan lama artifak seperti serpihan porcelin pinggan lama masih lagi boleh dijumpai dipersisiran sungai dan pantai Teluk Sari. Serpihan porcelin tersebut dipercayai berasal daripada kapal karam pedagang-pedagang daripada negara Cina kerana daripada serpihan tersebut juga terdapat ukiran dan tulisan Cina. Sungai Mawar juga merupakan kawasan laluan askar Jepun untuk keluar masuk daripada kem mereka dikawasan hulu sungai. Pembuktian tersebut dapat dilihat daripada segi tinggalan askar jepun iaitu bangkai pesawat terhempas, ladang tanaman getah lama dan barangan lain. Sungai Mawar ini menembusi hutan simpan Gunung Arong dan berpenghujung di jalan besar berdekatan dengan Felda Endau (atau lebih dikenali sebagai Felda Lembaga). Tinggalan artifak atau hasil tinggalan sejarah tersebut harus dipelihara oleh semua. Namun begitu, malangya ekosistem paya bakau di Sungai Mawar dilihat akan terjejas dengan aktiviti penolakan tanah disekitar tebing sungai. Asalnya kawasan tersebut merupakan rizab hutan simpan, tetapi apa yang berlaku menjadi tanda tanya kepada komuniti setempat iaitu "Siapakah yang bertanggungjawab? dan mengapa?". Semoga ada pihak yang mengambil tindakan untuk memelihara "Hutan Kita". 

Dongeng atau Benar? "Penyabung dan Pantai Pasir Lanun"

Berbalik kepada cerita awal, Teluk Sari juga terletak bersebelahan dengan Penyabung yang mana terkenal dengan tarikan pengunjung untuk melawati "Pantai Pasir Lanun". Nama Penyabung adalah berasal atau sempena dengan kebiasaan lanun-lanun yang menetap di situ menjadikan tempat itu sebagai kawasan menyimpan harta rompakan dan menyabung ayam. Kisah penyabung telah di filemkan di dalam cerita pendek iaitu "Penyabung" dan ada di antara pelakonnya telah memenangi anugerah. Kemunduran Endau iaitu sebuah pekan kecil yang merangkumi mukim Teluk Sari, Penyabong dan kawasan lain adalah dipercayai berpunca dari sumpah anak Pahang bernama Damak. Antara bunyinya "bagi orang-orang Endau, masa hadapan bandar ini tidak akan maju seperti apa yang telah saya buat". Hal ini tidak dapat dipastikan kebenarannya namun jika benarlah maksud kata-kata itu, bermakna Endau tidak diberi perhatian dalam usaha-usaha pembangunannya. 

Pembangunan Semakin dirasai

Namun begitu, setelah bertahun lamanya, barulah kini Teluk Sari dan Penyabung telah membangun dengan maju sebagai tempat peranginan yang amat menakjubkan. Jambatan kayu yang lama telah diganti dengan jambatan konkrit yang baru serta pembinaan jalan raya pesisiran pantai yang menghubungkan antara Endau dan Mersing telah berjaya disiapkan. Dapat dilihat terdapat banyak chalet untuk percutian seisi keluarga sepanjang pantai Teluk Sari ini. Kepada para pengunjung, peliharalah kebersihan kawasan walaupun dimana anda berada. Kebersihan itu datang daripada kita dan kekotoran itu adalah hasil daripada tindakan kita juga. Sampah sarap perlu dibuang ke dalam tong yang disediakan, jika ianya sudahpun penuh, pengunjung perlulah menyimpan dalam beg plastik yang dibawa kemudian dibuang ke tempat pembuangan sampah yang sesuai. 

Aktiviti yang Menarik

Penyabung dan Teluk Sari sememangnya tidak boleh dipisahkan kerana ia berkongsi permandangan dan perairan yang mempamerkan pelbagai pulau-pulau kecil yang amat mempersonakan mata pengunjung yang memandang. Ianya juga amat sesuai kepada kaki-kaki pancing sebagai "Fishing Spot" kerana kedudukan Archipelagos atau pulau-pulau ini merupakan tempat habitat hidupan marin seperti pelbagai jenis ikan, udang, sotong, kupang, ketam nipah, ketam renjong dan sebagainya. Kewujudan terumbu Ahwa, kelong-kelong di Pulau Acheh juga telah menjadikan hidupan marin dikawasan ini lebih membiak dan menjadikan habitat mereka di kawasan tersebut. Antara pula-pulau yang terdapat disini adalah Pulau Layak, Pulau Pelanduk, Pulau Acheh, Pulau Sribuat, Pulau Mertang, dan pulau-pulau lain yang berdekatan antara satu sama lain dan amat sesuai untuk memancing, berkelah dan "Island Hoping Activity". Bagi sesiapa yang berminat untuk "camping" di pulau -pulau ini, ianya juga suatu pengalaman yang perlu dicuba.


Snap Shot Sekitar kawasan


Kawasan pantai berbatuan di Pulau Mawar, Teluk Sari (Mengadap laut)


Pulau Pelanduk / Semut (Permandangan daripada tepi pulau)


Pesisiran pantai Tg. Mawar, Teluk Sari (Pengunjung gemar berkelah dan mencari kepah, lala, kerang)


Pengunjung di Pulau Mawar 


Pesisiran Pantai Tioman (30 - 40 minit daripada Penyabung / Teluk Sari dengan menaiki bot)


No comments:

Post a Comment